Thursday, March 28, 2013

..MEMPERSIAPKAN KEKUATAN RUH MENGHADAPI MEDAN



Memanglah yang terbaik..ambillah ruang masa bersama Allah Ta’ala di sepertiga malam terakhir. Di situ ada kekuatan..ada ketenangan..ada ketetapan hati dan jiwa bila mana ibadah malam dilakukan.
إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا﴿٦
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.
Al Muzzammil : 6

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا ﴿٧٩
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
Ai Isra’ :79

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ ﴿١٨
Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).
Ad Dzariyat : 18

                                                                     
عن ابي هريره ان رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ( ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة الى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الأخر فيقول من يدعوني فاستجيب له ومن يسألني فأعطية 
ومن يستغفرني فاغفر له(

 Dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Rabb kami tabaraka wa ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia (terendah), yaitu saat tertinggal sepertiga malam yang akhir. Dia berfirman: “Siapa yang berdo’a kepadaKu akan Kukabulkan, siapa yang meminta kepadaKu akan Kupenuhi, dan siapa yang meminta ampun kepada Ku akan Kuampuni.” (HR. Bukhori Muslim)

Namun tidak ramai yang mampu melaksanakannya pada realiti medan kini. Mesyuarat hingga ke tengah malam, ceramah dan mengemas tempat ceramah hingga jam 2 pagi, tampal poster hingga ke 4 pagi, ditambah minum dan makan tengah malam selepas aktiviti…sukar bagi amilin kini untuk dapat istiqamah dan berkekalan dengan ibadah di sepertiga malam terakhir itu…

Apakah tidak ada alternatif bagi para amilin..mempersiapkan ruhnya dengan kekuatan ibadah malam…?
Dalam membahaskan istilah NASYIATUL LAIL (نَاشِئَةَ اللَّيْلِ )..dalam surah Al Muzzammil, Al Imam Al Ghazali mengambil tafsiran yang ringan dengan mengartikannya sebagai waktu di antara Maghrib hingga Isya. Ini bererti menghidupkan tempoh waktu tersebut dengan ibadah akan mendapat kesan kekuatan dan ketetapan serta ketenangan jiwa seperti mana qiyam untuk ibadah di sepertiga malam terakhir.

Bahkan beliau memberi komentar terhadap ayat As Sajadah :16
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ ﴿١٦
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula 
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
Sebagai mendirikan solat awwabin iaitu satu solat yang sunat dilakukan di waktu di antara maghrib dan
 isya’…( Rujukan : Kitab Bidayatul Hidayah )

Justeru, ini adalah satu ruang dan peluang untuk para amilin yang sukar untuk bangun di sepertiga malam terakhir untuk dapat beribadah, memperkukuhkan ruh dan jiwanya menghadapi tribulasi medan yang berpanjangan. Solatlah fardhu maghrib berjamaah, berwirid dengan Al Maathurat selepasnya, solat hajat mohon istiqamah, perlindungan dari kejahatan musuh-musuh Islam dan mohon kemenangan untuk perjuangan Islam, bacalah wirid-wirid quraniyyah seperti surah al mulk, al waqiah atau surah yaa sin yang memang menjadi amalan Rasulullah S.A.W dan sudahi dengan solat fardhu Isya berjamaah...

Itu adalah satu modul ruhiyyah yang ringan ..yang sudah cukup berkuasa memberi kekuatan ruh dan jiwa para amilin fi sabilillah. Namun beristiqamahlah ya abnaie.. berkekalanlah.. barulah kesan yang baik dan mendalam akan dapat dirasai dalam jiwa mu...

ABi

Sunday, March 17, 2013

JAMAAH DIUTAMAKAN KEMENANGAN BERGANDA


PAS sebagai sebuah gerakan Islam dan gerakan politik memerlukan ahli yang mengutamakan jamaah bagi mencapai cita-cita suci dalam perjuangannya. Mempertahankan kemenangan lebih sukar daripada mendapat kemenangan. Kerja mesti digandakan sewaktu menang,kerana kerja jamaah dan kerajaan mesti seiring, berbanding dengan tidak ada kerajaan.  Perkara ini tidak akan tercapai jika ahli PAS daripada pimpinan tertinggi sehinggalah ahli biasa tidak mempunyai sifat ini.
 Sifat Ahli Yang Mengutamakan Jamaah
1.Setiap ahli PAS apabila telah mengisi borang dan diterima sebagai ahli dan berbaiah untuk bersama menegakkan Islam dan wadah PAS. Maka ia perlu patuh dan taat kepada apa yang terkandung dalam perlembagaan PAS. Ia perlu melaksanakan tuntutan sebagai ahli  Parti Islam dan seiring dengan dasar perjuangan parti.
 2.Dia mesti memahami bahawa kewajipan ia bersama dengan perjuangan Islam untuk memastikan kesyumulan Islam ditegakkan. Selagi tidak tertegak adalah wajib berusaha ke arah itu. Dan berdosa jika membiarkan syariat Allah dicabul.
 3.Dia  mesti yakin  dan percaya dengan kemestian amal dan usaha untuk membangkitkan iman di dalam jiwa manusia supaya muslimin dapat mengembalikan semula kekuatan  dan kehebatan mereka. Mereka mesti merasa perlu mendirikan syariah  yang hilang
 4.Dia mesti mengetahui bahawa kewajipan membangunkan masyarakat Islam tidak mungkin terlaksana dan tercapai hanya dengan usaha individu. Tetapi mesti dilakukan dengan amal jama’i untuk memikul bebanan agung ini. Berdasarkan qaedah Usul Feqh :
ما لا يتّم الواجب الاّ به فهو واجب
Sesuatu yang tidak sempurna perkara yang wajib kecuali dengannya,  maka ia menjadi wajib”
 5. Dia mesti melatih dan tahan sabar menanggung bebanan di  jalan yang penuh kesusahan dan kepenatan.
6.Setiap anggota sentiasa merasa pengintipan kehadiran Allah (muraqabatillah).
7.Dia hendaklah mengingati dan membuat persediaan untuk hari akhirat. Terapkan keyakinan, bahawa kerja-kerja jamaah adalah menjadi bekalan di hari akhirat.
8. Dia mesti bertaqarrub  (menghampirkan) diri kepada Allah dengan melakukan sunat nawafil seperti Qiamullail berpuasa sunat, membanyakkan zikirullah, sentiasa berdoa dengan khusuk kepada Allah dengan membaca doa ma’thurat.
 9. Wajib mencintai Allah dengan sebenar cinta. Cinta yang menjadikan hati itu sentiasa merasa rindu dan terikat dengannya. Kecintaan ini mendorong menambahkan amalan-amalan kebaikan, bekorban dan berjihad di jalannya  sepanjang masa. Walaupun hidup dalam kemewahan dan kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatut menghalang  daripada mencintai Allah. Apabila kecintaan kepada Allah mengatasi semuanya maka tidak ada apa yang boleh diganti dengan dunia dan pangkat. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan:

 قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّـهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٢٤
“Katakanlah; jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq”
(Surah al-Taubah 9:24)
 10.Kita tidak sepatutnya menumpukan kepada  kegiatan di dalam pentadbiran semata-mata dengan mengabaikan tarbiah ruhiah  yang menjadi asas kepada perjuangan. Kalau berterusan  demikian , amal akan berubah menjadi kerja rasmi yang hanya kulit, tetapi kosong ruh dan jiwa yang menyebabkan timbul pergolakan yang tidak diingini dalam jamaah.
 11.Wajib meluangkan waktu tertentu untuk membaca al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya. Banyak kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran untuk diambil pengajaran dan menjadi rangsangan kepada kita untuk berjuang dengan lebih gigih. Kita mesti membacanya dengan penuh tadabbur, merenunginya dengan khusyuk dan sedih kerana sabda Rasulullah SAW
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ نَزَلَ بِحُزْنٍ فَإِذَا قَرَأْتُمُوهُ فتحازنوا
 Bermaksud,
 “Sesungguhnya al-Quran diturunkan dalam keadaan duka cita, maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasakan kedukacitaan tersebut”
  12. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara syubhat (perkara yang samar) diantara halal dan haram. Kita mesti menjaga makanan, minuman yang samar dari segi halal dan haram supaya kita terpelihara dari jatuh kepada perkara yang haram.
Sabda Rasulullah SAW
إِنَّ الحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا یَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ
مِنَ النَّاسِ،  فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِیْنِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الحَرَامِ آَالرَّاعِي یَرْعَى حَوْلَ الحِمَى یُوشِكُ أَنْ یَرْتَعَ فِيْهِ. أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمَى، أَلاَ وَإِ نَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ. أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
رواه البخاري ومسلم.
                                                            
Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa yang memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara dari agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa  jatuh pada perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam  yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan , hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan.  Ketahuilah! Bahawa larangan Allah  ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati” (Bukhari Muslim)
 13.Mestilah bersifat tawaduk atau merendahkan diri khususnya terhadap saudara seIslam dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) samaada yang miskin mahupun yang kaya. Kita mesti sedar bahawa ahli PAS terdiri dari berbagai lapisan masyarakat dan status. Kita tidak hanya bergaul dengan orang kaya sahaja dengan meninggalkan orang miskin dan susah. Kerana perbuatan ini tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan dari sifat takbur. Baginda bersabda
لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر
“Tidak akan memasuki syurga siapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur” (Riwayat Muslim)
 14.Kita mesti menunjukkan contoh teladan yang baik selari dengan Islam yang menjadi dasar PAS. Akhlak  ahli PAS mesti selari dengan al-Quran dan Al-Sunnah kerana ia akan memberi kesan kepada perjuangan PAS. Kita percaya contoh teladan yang baik amat kuat mempengaruhi orang lain untuk mendekati perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Maka kita PAStikan diri kita, keluarga kita mesti menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja kita berada,kerana kita akan menjadi duta kepada PAS untuk melebarkan pengaruh PAS kepada masyarakat. Seperti kata Hukama'
لسان الحال افصح من لسان المقال
“Lisanul Hal (tindakan) lebih baik dari lisanul Maqal (berkata-kata)”
 15.Suami isteri  mesti mendidik anak-anak serasi dengan acuan Islam. Kita perlu sedar orang sentiasa memerhati rumahtangga ahli PAS supaya selari dengan prinsip perjuangan yang di bawa.  Kita bimbang orang tidak berminat dengan PAS apabila melihat rumahtangga ahli PAS yang tidak tepat dengan kehendak Islam. PAStikan isteri  menutup aurat mengikut syariat, anak menutup aurat dengan mengikut syariat. Kita tidak mahu anak isteri menjadi fitnah pada perjuangan PAS.  Kita mahu orang  berminat dengan PAS apabila mereka melihat rumahtangga Islam yang dibina dalam rumah ahli PAS.
Firman Allah SWT
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦
 “Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan”
(Al-Tahrim 66:6)
16.Berkawan dengan mereka yang berjiwa besar (bersemangat juang). Jika kita rapat dengan mereka yang malas maka ia juga menjadi diri kita pemalas.
 *Sering memerhati sirah perjuangan Nabi SAW dan sahabat untuk mengambil semangat mereka.
*Sentiasa bersama dengan jamaah dan hadir ke program jamaah kerana di sana terdapat sahabat yang berjiwa besar dan ikhlas dalam perjuagan.
 17.Rapatkan diri dengan markaz PAS kerana di sana ialah mereka yang sentiasa memikirkan tentang masa depan PAS
 18.Jangan kita memperkecilkan parti kita di tempat awam, dengan ini akan memberi mudaharat kepada jamaah.
 19.Jangan dedahkan rahsia dan masalah dalaman parti kepada media, samaada media cetak atau internet.
 20.Sentiasa menjalankan kerja dakwah fardiah untuk mengembangkan sayap perjuangan kita
 21.Kita mesti menjadi duta PAS untuk melebar jaringan PAS kepada orang lain.
 22.Menangkis segala fitnah yang disebarkan terhadap PAS dan memurnikan kembali segala tohmahan ini.
23.Cuba melatihkan diri sebagai jentera penerangan PAS secara sendiri, dengan mencetak 10 keping seminggu risalah atau keratan akhbar yang boleh dijadikan sebaran maklumat untuk orang atas pagar. Edarkan CD dan berikan secara percuma pada mereka yang menjadi sasaran kita.
 24.Letakkan akhbar alternatif seperti Harakah,  Keadilan di kedai-kedai kopi untuk orang ramai membaca.
 Kesimpulan
PAS sebagai sebuah gerakan Islam dan gerakan politik perlukan amilin yang bergerak dan produktif. Tidak ada siapa lagi yang akan mempertahankan kesucian Islam melainkan ahli yang haraki sahaja. Maka jadilah kita sebagai Ansarullah. Kita sebagai ahli PAS, mesti bersifat haraki (bergerak) bukan hanya menjadi ahli yang berada di pinggir perjuangan tetapi mesti menjadi penyumbang kepada kemenangan Islam. Di dalam apa keadaan, jamaah mesti diutamakan. Semoga ia menjadi amal soleh bekalan sewaktu bertemu dengan Allah SWT dan menjadi bahan penyejuk di padang mahsyar.

 Ustaz Hj Idris bin Haji Ahmad
 Pengarah Jabatan Tarbiah Dan Perkaderan PAS Pusat