Sunday, July 06, 2008

KEPIMPINAN DALAM BERORGANISASI

1.0 MUQADDIMAH

Kepimpinan dan organisasi (tanzim) merupakan dua unsur penting di dalam menentukan kekuatan Harakah Islamiyyah. Tanpa keduanya, harakah akan berjalan seperti seorang yang buta kehilangan tongkat.
Kejayaan organisasi di dalam menjalankan tugas dan mencapai matlamatnya bergantung kepada kepimpinannya yang bijak dan cekap. Namun kepimpinan bijak dan cekap tidak dapat berjalan sendiri tanpa organisasi yang baik dan teratur. Maka kedua-duanya sentiasa saling memerlukan dan saling bergantungan.
Oleh itu, untuk menghasilkan kepimpinan dan organisasi yang berjaya, maka titik tolaknya mestilah dari kefahaman tentang keduanya secara jelas dan teratur.


2.0 LATARBELAKANG

PAS sebagai Harakah Islamiyyah memerlukan kepada kepimpinan dan organisasi yang baik dan tersusun. Pengalaman perjalanannya telah cukup memberikan iktibar di dalam persoalan tersebut. Bahkan antara perkembangan mutakhir yang sering berlegar di kalangan ahli-ahli PAS ialah persoalan kepimpinan dan organisasi.
Oleh itu, kertas kerja ini ditulis untuk membantu ahli-ahli harakah di dalam memahami serba sedikit kepimpinan dan peranannya di dalam pengendalian organisasi agar ianya akan dapat dihayati sebaik-baiknya dalam konteks perjuangan kini.


3.0 KEPIMPINAN DAN ORGANISASI

Kepimpinan ialah suatu proses muamalah antara diri pemimpin dengan pengikut di dalam membimbing, menggerak, mengawal, mengarah serta mencapai sesuatu matlamat tertentu dengan kaedah-kaedah tertentu. Oleh itu, kepimpinan memerlukan :

i- Pemimpin dan pengikut
ii- Peranan pemimpin yang bergantung kepada keadaan dan matlamat kumpulan (jama’ie)
iii- Kebolehan di dalam fungsi mendidik, menolong, bertanggungjawab, menggerak, mengawal, mengawasi, mempengaruhi, merancang dan sebagainya yang merupakan keperluan-keperluan di dalam mencapai matlamat kepimpinan.

Tegasnya, kepimpinan adalah satu proses pengantaraan yang rumit antara peribadi pimpinan, harapan pengikut, keadaan persekitaran serta rangkaian matlamat yang hendak dituju.

Asal perkataan organisasi ialah ‘organ’ yang menggambarkan suatu rangkaian kerjasama di antara individu-individu di dalam melaksananakan sesuatu kerja untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu. Sebagai contohnya, tubuh manusia yang mana penerusan hidupnya bergantung kepada kerjasama, peranan fungsi dan tindakan anggota-anggota yang berlainan tetapi saling bergantungan.
Begitulah di dalam sebuah organisasi, ianya terdiri daripada bahagian atau faktor yang dibentuk, dilantik, atau dipilih bagi merancang, mentadbir, atau menguruskan bagi menggerakkan organisasi tersebut ke arah matlamat yang dipersetujui. Di mana setiap bahagian dan pemegang jawatan mempunyai peranan dan tugas masing-masing. Dengan itu, setiap pemegang jawatan hendaklah sentiasa saling berhubungan, bekerjasama, tolong-menolong, membuat keputusan, dan bertindak bersama bagi menjayakan cita-cita oganisasi.
Maka dapatlah dilihat bahawa peranan kepimpinan di dalam pengendalian organisasi sebagai suatu jalin-hubung yang erat antara dua unsur itu dan ianya bersifat dua hala.


4.0 SYARAT DAN KEPERLUAN DI DALAM PENGENDALIAN ORGANISASI

4.1 Sifat Pemimpin

Sebagai pemimpin sebuah organisasi, sifat-sifat pemimpin yang diperlukan boleh dibahagikan kepada 4 kategori sifat:
i- Keperibadian
ii- Kebolehan tadbir
iii- Kebolehan membuat persepsi
iv- Kebolehan komunikasi dan interaksi

Keperibadian

Sifat asasi yang semestinya ada seperti ikhlas, amanah, benar, bijak dan sebagainya. (Sila rujuk buku : Jalan Dakwah antara Qiyadah dan Jundiyyah oleh al-Ustaz Mustafa Mahsyur ; Pustaka Ikhwan)

Kebolehan Tadbir

i- Mempunyai kemampuan di dalam mengadakan kajian dan penyelidikan di dalam perkara-perkara yang mempunyai hubungan erat dengan organisasi.

ii- Mempunyai kemampuan di dalam membuat perancangan. Berdasarkan hasil kajian, dibuat program jangka pendek dan jangka penjang bagi mencapai tujuan organisasi.

iii- Mempunyai kemampuan membuat penyusunan, kerangka kerja, dan pembahagian kerja serta bahagian-bahagian organisasi sebagai saluran melaksanakan perancangan.

iv- Mempunyai kemampuan di dalam motivasi, memberikan arahan dan perintah pada saluran jentera organisasi bagi memastikan kegiatan organisasi berjalan sesuai dengan perancangan.

v- Mempunyai kemampuan penyelarasan, di mana bermacam-macam kegiatan diselaraskan sehingga tercapai kerjasama dan persefahaman.

vi- Mempunyai kemampuan pengawasan, di mana semua kegiatan diawasi dan dibetulkan supaya berjalan sesuai dengan garis-garis yang ditetapkan.

vii- Mempunyai kemampuan perhubungan supaya wujudnya hubungan terus-menerus dan dua hala antara pemimpin dan badan-badan organisasi sehinggalah kepada anggota organisasi.

Kebolehan Membuat Persepsi

Kebolehan ini menjadikan seorang pemimpin itu dapat mengesan permasalahan yang timbul, diatur dan difahami, sehingga membolehkan proses penyelesaian dapat dibuat dengan mudah. Kebolehan ini juga dapat menjadikan pemimpin itu menterjemahkan suasana dan sekitaran yang wujud sehingga ia dapat mengatur pendekatan dan uslub yang mahu digunakan di dalam perjuangan. Juga seorang pemimpin mestilah mempunyai vision (pandangan) yang jauh kehadapan.

Kebolehan Komunikasi dan Interaksi

Kebolehan ini termasuklah di dalam berkomunikasi dengan pengikut dan bukan pengikut (interpersonal) khususnya secara lisan kerana kebolehan ini penting di dalam mempengaruhi pemikiran dan tindak tanduk orang lain.


4.2 Syarat-syarat Pengendalian organisasi

i- Perkara-perkara yang perlu diketahui

- Mengenalpasti jenis organisasi yang dipimpin. Ini akan menentukan bentuk dan jenis tugas, peranan, tanggungjawab, matlamat dan pendekatan yang perlu dilakukan.

- Mengetahui tentang sejarah serta matlamat penubuhan organisasi juga misi yang hendak dicapai. Ini adalah supaya setiap perancangan dan pelaksanaan tidak akan terkeluar daripada matlamat atau misi yang terbentuk dan yang telah dipersetujui bersama.

- Mengenal dan menghayati peranan, taraf kedudukan serta bidang tugas bagi jawatan yang disandang. Juga mengambil tahu tentang bidang-bidang tugas yang lain supaya semangat kerjasama antara jawatankuasa dapat diwujudkan.

- Mengetahui dan memahami perkembangan peraturan, perlembagaan atau syarat-syarat yang dikenakan kepada organisasi. Dengan itu tindakan-tindakan yang boleh bertentangan dan menjejaskan organisasi dapat dielakkan.

- Mempelajari dan memahami cara untuk membuat projek atau program/ aktiviti sama ada dari segi perancangan atau pelaksanaan.

- Mengetahui, memahami atau mempelajari asas-asas pengurusan pentadbiran seperti cara-cara mendraf surat-surat rasmi, protokol di dalam surat-menyurat, mesyuarat atau majlis-majlis rasmi, membuat kertas kerja, laporan, mendraf minit mesyuarat, mengendalikan mesyuarat, membuat penyata tahunan, sistem fail dan sebagainya.

ii- Perkara-perkara yang perlu dilakukan

- Mengadakan perbincangan, perjumpaan atau pertemuan dan mesyuarat dari masa ke semasa bagi membincangkan mengenai perancangan, pentadbiran dan masalah yang dihadapi.

- Membahagikan bidang tugas berasaskan jawatan yang dibentuk atau dilantik.

- Mendapatkan nasihat, bimbingan atau panduan dari bekas pemegang-pemegang jawatan sebagai orang-orang yang berpengalaman di dalam pentadbiran.

- Membuka dan menyemak kembali semua fail-fail organisasi yang lalu. Ini bertujuan bagi mempelajari proses atau cara bagi pengendalian organisasi disamping menyemak segala masalah, kelemahan, dan kekurangan yang dialami oleh pimpinan yang lepas untuk dibuat iktibar.

- Memastikan kelengkapan pejabat atau pentadbiran seperti alatulis mencukupi.

- Melantik AJK kecil sebagai pembantu pengurusan, pentadbiran atau program dan sebagai pelapis untuk memimpin organisasi pada masa-masa akan datang

- Mengadakan taklimat-taklimat khas kepada semua AJK mengenai matlamat dan misi organisasi serta program-program yang hendak diadakan.

- Mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai program dan projek tahunan. Membahagikan pemegang jawatan atau urusetia tertentu bagi mengendalikan program, aktiviti atau projek yang telah diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa.

iii- Bagaimana untuk untuk mengendalikan program / aktiviti

- Sesuatu program / aktiviti dikemukan idea tersebut di dalam mesyuarat jawatankuasa/ Exco. Jika idea atau draf kertas kerja program sudah diperolehi, perbincangan hendaklah dilakukan bersama. Kata putus perlu dibuat sama ada hendak menerima atau tidak idea atau kertas kerja tersebut. Selepas itu pastikan mesyuarat melantik mas’ul/ pengarah/ pengerusi bagi mengendalikan dan bertanggungjawab di atas program/ projek tersebut.

- Mas’ul berkenaan perlulah membuat pemilihan dan pelantikan ahli jawatankuasa pelaksana/ urusetia/ panitia yang bersifat ‘ad-hoc’.

- Mesyuarat demi mesyuarat mestilah diadakan oleh urusetia tersebut bagi melihat perkembangan dan masalah sebagai persediaan sebelum program.

- Bahagikan tugas ahli jawatankuasa dan jelaskan tugas dan peranan mereka.

- Buat atau sediakan program bekerja mengikut apa yang diperlukan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan serta anggarkan tempoh atau tarikh bagi setiap kerja itu perlu disiapkan.

- Dari awal persediaan sehingga ke akhirnya, pastikan segala keperluan program disediakan dengan selengkapnya dan sentiasa membuat tinjauan sehinggalah saat-saat terakhir program hendak dijalankan

- Semasa program dijalankan, pengawasan program serta penilaian semasa hendaklah dibuat. Buat perjumpaan-perjumpaan dengan AJK untuk mengetahui masalah-masalah semasa dan cari jalan penyelesaian segera.

- Adakan post-mortem atau kaji semula segala perjalanan program dari segi kekurangan dan kelemahan perbelanjaan, sumber kewangan, keberkesanan program, cadangan pihak-pihak tertentu dan lain-lain.

- Buatkan satu laporan bertulis tentang keseluruhan program untuk simpanan fail exco/ jawatankuasa dan salinan kepada pihak-pihak yang berkenaan.


5.0 PENUTUP

Sesungguhnya persoalan kepimpinan, pengendalian dan pengurusan organisasi merupakan satu pengetahuan yang perlu dan boleh dipelajari. Ianya bukan satu kurniaan yang hanya didapati dengan berdiam diri. Mudah-mudahan dengan pembentangan ini ianya akan dapat menggerakkan kesungguhan kita untuk terus mempelajari dua bidang ini demi kekuatan dan keutuhan harakah.

WalLahu a’lam...

ABI

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum...
Syukran...peringatan yg penting bagi yang bergelar pemimpin mahu pun pengikut.
Taklifan yang diberi kadang-kadang tidak termampu untuk digalasi tetapi menjadi kewajipan sebagai ahli Gerakan Islam untuk melaksanakan seamanah mungkin tugas seorang Hamba Allah...