Nusaibah merupakan salah seorang
daripada serikandi Islam dan merupakan pejuang Muslimah Islam yang pertama. Dia
turut serta dalam Perjanjian (Bai’ah Aqabah Ke dua ), Perang Uhud, Bai’ah Ridhwan
dan Perjanjian Hudaibiyyah, Perang
Hunain dan Perang Yamamah (menentang golongan murtad )
Nusaibah di Bai’ah Aqabah Kedua (
Tsaniah )
Nusaibah adalah
salah seorang wanita yang telah turut serta bergabung dengan 73 orang lelaki
Ansar yang ingin berbai’ah kepada Rasulullah SAW. Dalam bai’ah Aqabah yang
kedua itu, dia bersama dengan suaminya Zaid Bin Ahsim dan dua orang puteranya
Hubaib (yang telah dibunuh oleh Musailamah setelah itu) dan Abdullah (perawi
hadith wuduk) telah membuat janji setia kepada Rasulullah S.A.W. Sedangkan
wanita yang seorang lagi adalah saudaranya. Ummu Umarah merupakan seorang
wanita yang berani, pandai menjaga harga diri, jujur dan rajin. Perkara ini
dijelaskan oleh Rasulullah sendiri ketika dia membuat bai’ah. Baginda bersabda
maksudnya : ” Janganlah mengalirkan darah dengan sia-sia.”
Nusaibah di Perang Uhud
Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari dikejar musuh.
Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah begitu hebat, hinggakan Rasulullah berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang di hadapanku.” Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh.
Rasulullah yang melihat peristiwa itu merasa terharu. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” kata Rasulullah kepadanya. Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang. “Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah.
Kemudian, Nusaibah dengan bantuan beberapa tentera Muslimin berjaya membunuh orang itu. Melihatkan keadaan ini, Rasulullah berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah menenangkanmu dan menggembirakan hatimu daripada musuhmu serta memperlihatkan balas dendammu dihadapanmu.”
Ketika Perang Uhud ini, Nusaibah mengalami luka yang banyak, terutamanya di bahagian bahu. Rasulullah memeriksa lukanya lalu meminta Abdullah, anaknya untuk mengikat luka tersebut sambil berkata, “Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati kamu semua.”
Nusaibah mendengar kata-kata Rasulullah itu. “Ya Rasulullah! Mohonlah kepada Allah agar kami boleh menemanimu di syurga nanti,” kata Nusaibah. Maka Rasulullah pun berdoa, “Ya Allah! Jadikanlah mereka semua ini penemanku di syurga kelak.” “Aku tidak akan mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di dunia ini,” kata Nusaibah sebagai membalas.
No comments:
Post a Comment