Friday, December 25, 2009

Kembali Ke Ganggang....

Alhamdulillah..abi dah balik ke Malaysia. Hujan emas di negeri orang ..hujan batu di negeri sendiri...abi bawa balik emas ke negeri sendiri. InsyaAllah pengalaman yang boleh dikongsi bersama..tunggu next post..

ABi

Tuesday, October 20, 2009

MENERUSKAN PERJALANAN TARBAWIY

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ (22:46)

Maksud Firman Allah `Azza Wa Jalla:

" Maka tidak pernahkah mereka berjalan di mukabumi, sehingga hati ( aqal ) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada."

( Al Hajj : 46 )

Sebenarnya ...pengalaman tarbiyyah dapat diambil dari berbagai sumber. Kuliah, usrah, tamrin, daurah, alam kanak-kanak, alam pengajian, alam pekerjaan, alam perkahwinan dan rumah tangga...dan berbagai lagi. Ada orang yang ilmu tentang sabar ia dapat dari kuliah tetapi dia dapat pengalaman sabar dari alam pekerjaannya. Ada yang baru faham tentang dakwah apabila hidup bermasyarakat dengan pelbagai ragam dan perangai manusia.
Abi banyak mengambil pengalaman tarbiyyah dari perjalanan. Itulah tamrin bagi Abi kini. Perjalanan Abi yang akan datang ini sebahagian dari siri-siri tarbiyyah demi membekalkan diri meneruskan perjuangan yang masih panjang dan demi persiapan menemui Allah Tuhan Rabbul Jalil. Doakan Abi deh....

ABi

Tuesday, October 13, 2009

TARBIYYAH SATU PROSES PENGALAMAN ...

Lama ABi tidak menulis. Kesibukan dan tanggungjawab perjuangan sering didahulukan dari menulis. Namun kesibukan dan tanggungjawab perjuangan bukan masalah. Kedua-duanya adalah proses pengalaman yang sering mematangkan diri. Bagaimana menghadapinya..bagaimana mengendalikannya.

Ada orang yang sentiasa menggunakan kesibukan sebagai alasan. Alasan tidak dapat datang majlis-majlis pengajian..tidak dapat datang usrah..tidak dapat datang mesyuarat..dan macam-macam lagi. Ada juga kerana kesibukan jadi alasan tidak dapat beramal..solat tidak berjamaah..tinggal zikir ma'thurat..tidak ada masa untuk Al Quran...juga tidak dapat dapat bangun malam bertahajjud. Tambah lagi ada juga buat alasan kerana tanggungjawab perjuangan ..terabai langsung amal-amal fardi. Alasan yang datang dari nafsu dan kerendahan himmah seorang yang mengaku pejuang..!

Justeru..tarbiyyah bukan semata-mata fikrah. Tarbiyyah bukan semata-mata kekuatan hujjah. Tarbiyyah bukan semata-mata ilmiyyah...namun ianya adalah proses perubahan melalui pengalaman beramal dengan ilmu..berpegang dengan fikrah..juga pengalaman mengendalikan diri dalam berhadapan arus kehidupan yang penuh dengan kesibukan dan tanggungjawab perjuangan...

Tarbiyyah adalah satu proses merasai pengalaman..bagaimana rasanya berpegang teguh dengan Islam sebagai cara hidup..bagaimana rasanya bila beramal dan merasai lazat beramal..bagaimana rasanya bila berjuang dan merasai pahit getir perjuangan...bagaimana rasanya susah payah perjuangan dan bersabar dalam bersusah payah. Oleh itu ..jika pernah rasa senang maka kena rasa juga susah..jika pernah rasa menang maka kena rasa juga kalah..jika pernah rasa kuat maka kena rasa juga lemah. semua itu memberi pengalaman merasai sunnah dan realiti perjuangan. Barulah seorang pejuang itu menjadi matang dalam tarbiyyahnya...

Firman Allah Azza wa Jalla :

أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأسأ والضرأ وزلزلوا
حتى يقول الرسول والذين أمنوا معه متى نصرالله ألآ ان نصرالله قريب

"Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum lagi datang kepadamu apa yang telah mengenai orang-orang yang terdahulu dari kamu; mereka dirasakan dengan kesakitan dan kepapaan dan digoncangkan (pegangan) mereka sehingga berkata oleh rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya `Bilakah lagi datang pertolongan Allah' Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir".

Al Baqarah : 214

Oleh itu ya abnai...kukuhkan amalan mu..terjunlah ke medan perjuangan..tinggalkanlah alam mimpi fikrah dan idealisma mu...nescaya antum bakal menjadi pejuang aqidah dan fikrah yang sebenar ..menjadi pencinta mati syahid demi syurga Allah yang tinggi..

ABi

Tuesday, September 01, 2009

Bila Ilmu Menyentuh Hati....

Ya abnaie...

Rasulullah S.A.W. telah bersabda :

العلم علمان :

فعلم في القلب فذالك هو العلم النافع ؛ وعلم على السان فذالك حجة الله على ابن آدم

` Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati ( disertakan amal ), maka itulah yang bermanfaat; dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah ( tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam.’

Riwayat Ibnu Syaibah ddan Al Khatib

Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala :

`Ilmu yang meemberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah Ta’ala; ( ilmu ) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu; (ilmu) yang menambahkan ibdahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya; (ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia; (ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat; (ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya; (ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya’.

( Bidayatul Hidayah )

Oleh itu, jika antum mahu menyuluh diri dan perilaku..suluhlah dengan ilmu yang memberi manfaat. Rapatkan dirimu dengan para `ulama. Sirami hati dan aqalmu dengan ilmu nescaya kamu akan sentiasa terpimpin.


ABi


Sunday, August 23, 2009

RAMADHAN BULAN KEBERKATAN..APAKAH KITA MERASAI KEBERKATANNYA

Ya abnaa al jama'ah..
Ramadhan Al Mubarak..bulan yang diberkati. Memang bulan Ramadhan ialah bulan yang penuh dengan keberkatan. Maksudnya bulan yang melimpah ruah kebaikan..lebih teruja untuk beramal soleh..amal soleh diganjari dengan pahala yang berlipat ganda..amal kejahatan dibalasi dengan dosa yang berganda juga kecuali bertaubat dan memohon keampunan ..Allah Maha Penerima Taubat dan membuka ruang keampunan yang lebih luas di bulan Ramadhan.
Namun apakah cukup bulan Ramadhan yang diberkati..bagaimana kita. Apakah kita selaku ummat Nabi terangsang dan teruja untuk mendapat keberkatan? Dengan makna berlimpah ruah amalan kita..bertambah-tambah kebaikan dalam diri kita..? atau kita hanya melalui bulan Ramadhan rutin biasa kita sahaja..sahur sebelum subuh..menahan lapar dan dahaga di waktu siang..berbuka dan solat tarawih..dan di hujung bulan Ramadhan ini kita menyambut hari raya...
Sebenarnya inilah peluang dan ruang untuk kita memperkasakan peribadi dan ibadah kita..ABi mencadangkan modul-modul berikut untuk antum semua :

1. Bangunlah seawal jam 4 pagi..ambil wudhu..solat tahajjud 8 rakaat..banyakkan istighfar paling tidak 100 kali,..banyakkan tahlil paling tidak 100 kali, banyakkanlah selawat paling tidak 100 kali...dan berdoalah sungguh-sungguh padaNya...mohonlah keampunanNya..mohonlah keikhlasan dariNya..mohonlah kekuatan dariNya..mohonlah agar istiqamah..mohonlah kebersihan jiwa dariNya...

2. Bacalah Al Quran sekerap yang boleh paling tidak sehari 1 juzuk.. `Sesungguhnya ibadah malam ianya lebih bersangatan kesannya pada jiwa dan lebih tetap pada bacaannya'..Al Muzzammil: 6

3. Istiqamahlah dengan wirid al ma'thurat..paling tidak wazifah sughro ( bacaan 3 kali )..jangan ditinggalkan..inilah makanan ruh yang amat lazat di bulan Ramadhan..

4. Usahakan solat fardhu subuh hingga ke 'isya berjamaah. Dan jangan tertinggal solat sunat rawatib 2 rakaat sebelum dan selepas dzohor, 2 rakaat sebelum asar, 2 rakaat selepas maghrib juga 2 rakaat selepas 'isya...Juga usahakanlah solat sunat Dhuha 2 rakaat.."Ya Allah..kalaulah rezkiku ada di langit turunkanlah ia..dan kalau ianya di bumi keluarkanlah ia..dan kalau ianya jauh dekatkanlah..dan kalau ianya dekat mudahkanlah..dan kalau ianya sedikit banyakkanlah..dan kalau ianya banyak ringankanlah ia...."

5. Usahakanlah sekerasnya agar antum tidak tertinggal untuk solat sunat tarawih..samaada berjamaah mahupun dibuat sendiri kerana kesibukan atau musafir atau yang lainnya. Bagaikan tidak ada makna bulan Ramadhan jika antum mengabaikan solat tarawih...kerana ianya hanya dapat dilaksanakan dalam bulan Ramadhan.

6. Solatlah sunat witir samaada 1 rakaat atau 3 rakaat..sebelum tidor atau pun selepas bangun dari tidor iaitu selepas mengerjakan solat tahajjud. Dan amalan ini tidak sayugianya hanya di bulan Ramadhan bahkan di setiap malam selain bulan yang berkat ini..

7. Sebelum tidor berwudhulah..jangan tidor lewat sebab nak bangun awal. Seeloknya bacalah surah al Mulk, al Waqiah dan Yaa Sin sebelum tidor..jadikanlah tidor itu juga sebagai ibadah...

7. Inilah juga peluang untuk diperbanyakkan pembacaan buku-buku Islami..menghafaz ayat-ayat Al Quran dan hadith-hadith Nabi S.A.W...sebagai memenuhi masa-masa yang terluang di bulan berkat ini.

Ya abnaie...aturlah elok-elok jadual ibadahmu ini di bulan Ramadhan..tidak sepatutnya ibadah di bulan ini sama seperti yang kita lalui di bulan-bulan yang lain. Ramadhan tetap bulan yang diberkati. Namun sewajarnya kita juga mendapat keberkatan yang sama sehingga selepas Ramadhan ini ..akan lahirlah sebuah peribadi yang hebat..yang kukuh ruhiyy ..kuat aqliy..muslih qalbiy..dan terdidik serta tenang nafsunya untuk meneruskan kerja jihad sehingga ke hembusan nafasnya yang terakhir dengan kalimah thoiyyibah..لا اله الا الله...wallahu a'lam.

ABi

Monday, August 17, 2009

Satu Muhasabah....

Ada di kalangan abnaul jamaah..mengadu keresahan jiwanya..kekacauan hidupnya..masalah sering menekannya. Aktiviti jamaah tidak menenangkan jiwanya..akademik menjadi bebanan..jawatan menghantuinya.
Abi hanya menjawab..bagaimana tahajjudnya setiap malam..berapa masanya yang dia sediakan untuk menghadap Allah Ta'ala di waktu qiyamnya setiap malam..apakah seorang da'ie mujahid akan dialpai oleh Allah Azz wa Jalla bila di saat orang tidur sang dai'e merintih..merayu..mengadu padaNya..?
Bagaimana aurad qurannya..Al Waqi'ah..Al Mulk..Yaa Sin..semuanya surah-surah yang amat berkuasa membina kekuatan ruh..kekuatan iman..kekuatan keyakinan. Menghapuskan kotoran-kotoran dosa..menambahkan bekalan pahala yang mampu menaikkan darjah ketenangan dalam hati para dai'e ila Rabbil Jalil...
Bagaimana solatnya..yang mengandungi sentuhan-sentuhan ruhi ....unsur-unsur ta'abudan ( pengabdian ), tasliman ( penyerahan ), takhasyua'an ( khusyu'), tabazzulan ( kehinaan diri ), takhaddu'an ( kerendahan hati), tamalluqan(kerinduan)...yang sayugia membina jiwa hamba dalam diri para da'ie mujahid....Sering kali seseorang itu tidak menemui hatinya di dalam solat..sehingga solatnya tidak ada ruh yang dapat menghidupkan jiwanya..
Bagaimana wirid dan zikirnya..yang sepatutnya menghidupkan hati..menyalakan ingatan, kerinduan. keasyikan kepada Allah Rabbul Jalil...membuahkan kemulian..menumbuhkan sifat-sifat mahmudah..membersih dan menggilap dari noda dosa..
ABi sukar mempercayai ..seorang da'ie yang istiqamah dengan wasilah-wasilah tarbawi akan resah jiwanya..tertekan hidupnya..Oleh itu ya abnaie..muhasabah lah dirimu sebelum mu dimuhasabah di hadapan Tuhanmu..

ABi

Friday, August 07, 2009

HIDUPKAN JIWA TARBAWIYY....


Para santri sedang menghafaz Al Quran



Pondok tempat penginapan ABi

Alhamdulillah..bila kembali ke pangkuan pondok..sebagaimana dulu di sekitar 80an, jiwa ABi jadi begitu teruja. Ruhiy jadi hidup..aqliy jadi tamakkan ilmu..qalbiy begitu terislah..nafsu jadi tertekan. Memang itulah aspek tarbawiyy yang mesti sentiasa berkembang dalam diri da'ie mujahid..Bagi para da'ie mujahid yang sudah merasa kepenatan..jemu..tertekan...kembali lah islahkan dirimu dengan ilmu, simbahi hatimu dengan munajat dan muroqobah, tekan nafsumu dengan ibadah..tambahi waktu mu dengan Allah Azza wa Jalla di malam hari..nescaya kecekalan, keutuhan dan keperkasaan peribadimu sebagai da'ie mujahid akan terserlah kembali di persada jihad...

ABi

Wednesday, July 29, 2009

Khabar Dari Seberang



Alhamdulillah..inilah tempat abi belajar..Pesantren Tahfizul Quran IsyKarima, Karangpandan, Karanganyar, Surakarta, Jawa Tengah...Subhanallah..tempat yang hebat. InsyaAllah akan datang kisah dan pengalaman abi di sini.

Wednesday, July 22, 2009

Perjalanan Diteruskan Lagi...

InsyaAllah..27 Julai ini abi akan keluar negara lagi. Perjalanan untuk menghirup udara ilmu dan tajribah yang segar. Kali ini lebih lama..insyaAllah sehingga hujung tahun 2009 ini. Namun ukhuwwah dan pertautan kita akan berterusan..melalui ruh dan cyber. Bila kita yakin matlamat perjalanan kita amat jauh..maka bekalan yang mencukupi mesti dicari. Bekalan yang ada pula mesti digunakan ..untuk berfikir dan merancang..untuk berkerja dan bergerak..

Abi yakin antum semua akan terus istiqamah dengan Islam dan perjuangannya sehingga hembusan atau sedutan nafas yang terakhir. InsyaAllah..

ABi

Sunday, July 19, 2009

Sumbangan Kepada Madrasah Tersohor...

Abi nak minta tolong pada semua abna' jamaah..agar memberi sumbangan kepada Madrasah An Nuriah Ad Diniah. Abi pernah mengajar di madrasah itu selama 13 tahun. Madrasah yang banyak berjasa kepada abna' jamaah. Diasaskan oleh Tuan Guru Mu'allim Hj Abd Wahid Othman sejak tahun 1940 lagi. Beliau juga adalah Mantan Ketua Dewan Ulama PAS Melaka sebelum jawatan itu diwarisi pula oleh anaknya Tuan Guru Hj Jaliluddin Hj Abd Wahid salah seorang AJK Dewan Ulama PAS Pusat. Madrasah itu tidak mendapat peruntukan dari mana-mana pihak kerajaan. Hanya dari kutipan yuran dan sumbangan orang ramai. Sekarang kewangan madrasah agak meruncing. Oleh itu abi harap keseluruhan tenaga abna' jamaah yang berada di mana-mana pelusuk dunia.. bantulah semampu anda demi penerusan perjuangan madrasah ini di persada ilmu.

Acc Majlis Kerja Madrasah BIMB 04024020775662

Saturday, June 27, 2009

BEKERJA SEPENUH MASA UNTUK ISLAM DAN PERJUANGANNYA

As Salamu 'alaikum wr wb

Islam adalah DIN iaitu jalan kehidupan di dunia hingga ke akhirat. Hari akhirat juga dipanggil YAUMUD DIN iaitu Hari Pembalasan. Pembalasan di hari itu berdasarkan cara hidup atau DIN yang diamalkan di dunia. Oleh itu, manusia tidak ada pilihan melainkan di dunia ini mengambil Islam sebagai cara hidup dan hidup mesti menjadi perjuangan untuk keselamatan dan kebahagiaan di akhirat nanti.

Maksud FIRMAN Allah Azza wa Jalla:

Barangsiapa yang mengambil selain Islam sebagai agama, tidak akan diterima apapun darinya dan ia di akhirat tergolong orang yang rugi

( Ali Imran : 85)

Justeru, hidup adalah suatu perjuangan. Seluruh pegangan, amalan, pandangan dan pengorbanan mestilah untuk ISLAM. Belajar, bekerja, mencari nafkah, membina rumahtangga dan apa sahaja yang dilakukan dalam kehidupan mestilah menjadi satu perjuangan dan sudah pastinya berlandaskan ISLAM.

Maka tidak timbul jika kefahaman ini ada dalam diri kita, pandangan yang mengatakan bahawa untuk fulltime dengan perjuangan hanya bila mana seseorang itu bekerja sepenuh masa dengan jamaah semata-mata. Memang bagi mereka yang bekerja sepenuh masa dengan jamaah ada kelebihannya tersendiri. Namun bekerja sepenuh masa untuk Islam dan perjuangannya masih boleh dihayati oleh siapa sahaja yang benar-benar menjadikan Islam dan perjuangannya sebagai keseluruhan corak hidup dan corak matinya.

Maksud FIRMAN Allah 'Azza wa Jalla :

"Katakanlah (wahai Muhammad):"Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan rasulnya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan,dan kamu akan dikembalikan kepada zat (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia akan memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

(At-Taubat: 105)

Wallahu a'lam


ABi


p/s : Abi tengah sibuk kat Manek Urai..tak dapat tulis panjang-panjang..

Friday, June 12, 2009

Siri Muwasofat Tarbiyyah 2

سليم العقيدة
AQIDAH YANG SEJAHTERA

Memperkukuhkan Tiga Landasan Utama Dalam Aqidah


ذاق طعم اللايمان من رضي بالله ربا وبالاسلام دينا وبمحمد نبيا ورسول

رواه مسلم عن العباس بن عبد المطالب

"Telah merasai lazatnya iman, orang yang redho bahawa Allah sebagai rabb ,
Islam sebagai din dan Muhammad sebagai rasul ".

HIKMAT TARBAWIYYAH
1. Kelazatan iman hanya dapat dirasa apabila seseorang itu benar-benar telah menjadikan dan merasai Allah Ta'ala sebagai Penciptanya dari setitis air yang hina, juga Pentadbirnya yang mengatur dan menentukan qadha dan qadarnya, juga sebagai Pendidiknya dalam memberi hidayah dan petunjuk ke jalanNya yang lurus sehingga benar-benar keredhaan Allah Ta'ala menjadi matlamat hidupnya.

2. Kelazatan iman juga hanya dapat dirasai apabila seseorang itu dapat merasai Islam sebagai din iaitu cara hidupnya. Islam mengatur kehidupan dunia sehingga akhirat. Islam mengatur cara dan gaya hidupnya sejak celik mata di pagi hari sehingga tutup mata di malam hari untuk tidor kembali. Sehingga tidak ada 'kekosongan' dalam hidupnya melainkan semuanya dicorak oleh cara hidup Islam. Dan sudah pasti kemuncak dari itu...Islam menjadi perjuangan hidupnya demi kesenangan di dalam kehidupan akhirat.

3. Iman juga hanya dapat dirasai kelazatannya apabila seseorang itu menjadikan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai rasul utusan Allah kepada manusia untuk diyakini ajaran-ajarannya, agar diikuti cara hidupnya dan dijadikan pimpinan yang dipatuhi seluruh arahannya.

Wallahu a'lam

ABi



Wednesday, June 03, 2009

Siri Muwasofat Tarbiyyah 1

سليم العقيدة
AQIDAH YANG SEJAHTERA

Mempertahankan Aqidah Sehingga Akhir Hayat



من مات لا يشرك بالله شيئا دخل الجنة

رواه أحمد عن ابن مسعود

“Barangsiapa mati dalam keadaan tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu pun, maka ia akan masuk syurga”

HIKMAH TARBAWIYYAH

1. “Barangsiapa mati”..menunjukkan suatu pesanan agar kita meraih husnul khatimah dan menghindari diri dari su’ul khatimah ketika kematian datang menjemput kita.
2. “..mati dalam keadaan tidak menyegutukan Allah..” ini mengisyaratkan kita agar menjadikan kehidupan kita jauh dari segala unsur kesyirikan.Juga kita mestilah sentiasa dalam keadaan bertaubat supaya jika kematian datang maka kita bersih dari kotoran dosa.
3. ”...tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu pun..” Syirik besar menggugurkan iman dan syirik kecil mengurangkan kesempurnaan iman. Maka jauhilah ia sekuasamu.
4. ”..Maka ia akan masuk syurga..”. Inilah harapan dan cita-cita setiap muslim mukmin. Tidak ada yang lain diharapkan di penghujung perjalanan hidup melainkan kesenangan di syurga yang abadi.

Wallahu a’lam

ABi

Sunday, May 24, 2009

SEBAR-SEBARKANLAH....TANPA HAD

Kepada sesiapa saja yang membaca artikel-artikel dari blog ini...silalah sebarkan tanpa had. Samada anda ingin menjadikannya idea asas kepada artikel yang anda mahu karang..atau ingin memperluaskan bahasannya..atau mahu mengambil bulat-bulat, saya izinkan. Apa yang tertulis dalam blog ini hanyalah cebisan sedikit ilmu dan pengalaman. pada hakikatnya semuanya adalah milik Allah Rabbul Jalil..marilah sama-sama kita kongsi bersama.

Al Faqir ilalLah Abu Mukhtar Al Jawi ( Ust Mohd Noor Omar @ ABi )

Saturday, May 23, 2009

UNSUR-UNSUR TARBIYAH DALAM PILIHANRAYA

TARBIYAH HARAKIYYAH

Proses perubahan terhadap diri manusia melalui penyemaian dan penyuburan ilmu dan iman, pengasuhan amal dan akhlaq serta pengukuhan iltizam dalam penegakan amal Islami melalui jamaah.

UNSUR TARBIYYAH DI BIDANG AMAL

a. Pengurusan Jentera Pilihanraya
– Logistik
– Penerangan
– Keselamatan
– Urusan Ulama’
– Daftar pengundi
– PACA
– Bilik Gerakan dsb

b.Intelligence
– Penyelidikan
– Info
- Keselamatan
– Perang saraf
– Operasi sulit
– Sabotaj

c.Pembinaan perancangan : strategi dan taktik

d.Nasrun Min Allah ( Pertolongan Allah )

Al Baqarah : 214, Ali Imran : 126 As Sof : 13 , Ar Rum : 47 Muhammad : 7

UNSUR TARBIYYAH DI BIDANG AKHLAQ

a. Ikhlas
– Al An’am : 162

b. Kesetiaan ( Al Wala’ )
– Al Maidah : 56

c. Kepatuhan ( At Ta’at )
– `Dengar dan patuh selama mana tidak diperintahkan dengar kemaksiatan’ - Al Hadith

d. Kesungguhan ( Al Jihad )
- At Taubah : 41

e. Kesabaran ( As Sabru )
- Ali Imran : 200

f. Penguasaan dakwah ( Isti’ab khorijiy )
– Manis wajah, menarik dan kemahiran interpersonal

UNSUR TARBIYYAH DI BIDANG ILTIZAM

a. Keterlibatan
– Berjawatan @ berperanan
– Tahu apa yang perlu diketahui, tahu apa yang perlu dibuat dan tahu bagaimana untuk buat.

b. Pengorbanan
- Masa
- Kesenangan
- Keselesaan
- Keluarga
- Kerjaya
- Harta dan kewangan

TARBIYYAH MENJELANG PILIHANRAYA
  • Pemerkasaan wala’ dan taat
  • Pemerkasaan wasilah tarbiyah
  • Pemerkasaan ukhuwwah
  • Pemerkasaan jatidiri ruhiyyah
USLUB TARBIYYAH UNTUK FARDI

1. Qiyamullail
- Jadual individu
- Jenis amalan

2. Quraniyyah
-Jadual tilawah
-Surah At Taubah,Al Ahzab,Al Anfal,Muhammad,Al Hujurat dan As Sof

3. Zikir dan aurad
-Al Ma’thurat
-Wazhifah sughro dan kubro
-Doa’-doa’ terpilih.

USLUB TARBIYYAH UNTUK JAMA’IY

a. Usrah
– Fokus pada teks As Sof, Muhammad dan Al Fath
– Fokus pada tema iman,wala’,taat,bay’ah,jihad dan pengorbanan

b.Tamrin / mukhaiyyam
– Fokus pada modul pembinaan wala’, ukhuwwah, team work.
– Pendedahan ilmu intelligence( seni perjuangan @ art of war )

WALLAHU A’LAM

Kemenangan bermula dari kemenangan ruh terhadap kejahatan nafsu dalam diri kita…

BAI'AH : Konsep dan Aplikasinya Dalam Konteks Amal Islami

Konsep dan Pengertian

• Bahasa :
Janji setia
• Istilah :
Janji setia yang dilakukan antara orang mukmin dengan satu pihak yang lain samada Rasulullah SAW atau pimpinan dalam mendokong suatu kewajipan agama.

Maksud FIRMAN Allah 'Azza wa Jalla :

'Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.'
( At Taubah : 111 )

'Sesungguhnya orang-orang Yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka Hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). oleh itu, sesiapa Yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa Yang menyempurnakan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala Yang besar.'
( Al Fath : 10 )

'Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang Yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa Yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) Yang ada Dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka Dengan kemenangan Yang dekat masa datangnya;
Dan juga Dengan banyak harta rampasan perang, Yang mereka akan dapat mengambilnya. dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.'

( Al Fath : 18-19 )

'Wahai Nabi! apabila orang-orang perempuan Yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, Bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah Dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta Yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu Dalam sesuatu perkara Yang baik, - maka Terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.'

( Al Mumtahanah : 12 )

Jenis-jenis Bai’ah

. Bai’ah Al Aqabah
• Bai’ah Al Harb
• Bai’ah Ar Ridhwan
• Bai’ah An Nisaa’
• Bai’ah As Siyasah
• Bai’ah ‘ala At Taqwa wal ‘Amal
• Bai’ah Al Harakah Al Islamiyah

Kepentingan Bai’ah

• Memperkuatkan keyakinan
• Mempertingkatkan kekuatan ruhiyyah
• Menambat intima’ terhadap jamaah
• Sentiasa muhasabah iltizam

Aplikasi Bai’ah

• Ilmu dan fikrah
• Takwin fardiyyah
• Taqwa
• Iltizam
• Istiqamah

Rukun-rukun Bai’ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Tsabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwwah
10. Tsiqah

Isu-isu Bai’ah

• Tidak faham konsep bai’ah
• Tidak yakin dengan bai’ah
• Berbilang-bilang bai’ah
• Melanggar dan mengkhianati bai’ah

Wallahu a’lam

ABi