JIWA LEMAH 4
Jiwa jadi lemah...bila..dalam HATI ..
Ada kegelapan kejahilan,
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ أَمْ هَلْ تَسْتَوِي الظُّلُمَاتُ وَالنُّورُ ۗ (١٦) الرعد ١٦
Katakanlah: "Adakah sama orang buta dan yang dapat melihat, atau samakah gelap gulita dan terang benderang
Ar Ra'du : 16
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗإِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٩﴾
Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.
Az Zumar : 9
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menyebut :
فالقلب يموت بالجهل ( مجموع فتاوى لابن تيمية )
Hati jadi mati disebabkan kejahilan
Kejahilan adalah lawan kepada ilmu. Bila mana ilmu itu cahaya, maka kejahilan adalah kegelapan.
Sesungguhnya Allah mencampakkan nur ke dalam hati orang-orang yang bertaqwa di kalangan hamba-hambaNya yang jauh dari perlakuan maksiat. Ibnul Qayyim dalam kitabnya I'laam al Mauqi'in menyebut: " Imam Ahmad mencontohi kata-kata Saidina Umar Al Khattab yang menyebut: ' Dekatilah mulut para pentaat Allah dan dengarlah apa yang mereka katakan. Sesungguhnya mereka terbuka jiwa mereka dengan kebaikan, kerana hampirnya hati mereka kepada Allah. Bila mana hampirnya hati mereka kepada Allah, hilanglah segala penghalang-penghalang kejahatan. Nur dalam hati membuka kebenaran secara sempurna dan kuat. Setiap kali hati jauh daripada Allah, bertambahlah penghalang-penghalang dan semakin lemahlah nur yang membuka kebaikan. Kerana sesungguhnya ilmu itu cahaya, Allah campakkan ke dalam hati, yang menjadikan seorang hamba itu dapat membezakan antara baik dan buruk'. Imam Malik berkata kepada Imam Syafie pada awal pertemuan mereka: " Sesungguhnya aku melihat Allah telah meletakkan nur dalam hatimu, maka janganlah engkau padamkannya dengan kegelapan maksiat".
Justeru, para ahlul ilmi mengatakan bahawa iman itu bertambah dengan taat , berkurang dengan maksiat dan iman jadi kuat dengan ilmu, jadi lemah dengan kejahilan, seperti yang dinaqal oleh Imam Ahmad bin Hanbal.
Kejahilan bererti ketiadaan ilmu tentang sesuatu kebenaran, tidak beramal dengan kebenaran dan tidak mengikut kebenaran. Ibnul Qayyim menyebut:
" Kejahilan ada dua bahagian: ketiadaan ilmu tentang kebenaran yang bermanfaat dan ketiadaan beramal dengan kewajipan dan tuntutannya. kedua-duanya adalah kejahilan dari segi bahasa, urf, syarak dan hakikatnya."
Imam Hassan Basri berkata : " Kejahilan lebih teruk daripada kefakiran..." Beliau juga mengatakan : " Tiada kefakiran yang lebih dahsyat selain kejahilan..".
Kejahilan mematikan hati dan ruh. Ilmu pula menghidupkan hati daripada penyakit kejahilan.
أَوَ مَن كَانَ مَيْتاً فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُوراً يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا
الأنعام: ١٢٢
Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya? (122)
Al An'aam : 122
Di antara wasiat Luqman al Hakim kepada anaknya:
" Wahai anakkku duduklah dengan ulama’ dan rapatkan kedua lutut kamu sesungguhnya Allah menghidupkan hati dengan ilmu seperti menghidupkan bumi dengan turunnya hujan”.
Ilmu melapangkan dada, manakala kejahilan menyempitkannya.
Kata Ibnul Qayyim rahimahullahu taala : " Ilmu melapangkan dada manusia dan meluaskannya sehinggalah lebih luas dari sempit dunia ini. kejahilan pula mewarisi jiwa yang sempit, sesak dan terkurung. Setiap kali semakin luas ilmu seseorang hamba itu, semakin lapanglah dadanya dan meluas jiwanya. Bukanlah semua orang berilmu begitu tetapi orang yang memiliki ilmu ilmu yang bermanfaat iaitu yang diwarisi daripada Rasulullah SAW. Maka ahli ilmu itulah yang selapang-lapang dadanya, seluas-luas jiwanya, sebaik-baik akhlaqnya dan sebaik-baik kehidupannya..".( Zaadul Maad )
Dalam hadis yang sahih yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari, riwayat Abdullah bin Amru bin 'Ash RA, berkata ia : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من العباد، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يبق عالما اتخذ الناس رؤوسا جهالا فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا
اخرجه البخاري
Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekali gus daripada hamba-hambaNya, akan tetapi Ia cabut ilmu dengan dimatikan para ulamak sehingga bila tiada lagi orang alim manusia mengambil para juhala' sebagai pemimpin mereka, mereka ditanya lantas mereka berfatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat dan mereka menyesatkan.
Rasulullah SAW sendiri berdoa dan mengajarkannya kepada ummat supaya minta perlindungan Allah daripada kejahilan.
رب اغفر لي خطيئتي وجهلي وإسرافي في أمري كله وما أنت أعلم به مني. اللهم اغفر لي خطاياي وعمدي وجهلي وهزلي وكل ذلك عندي.
أخرجه البخاري
" Wahai tuhanku ampunilah kesilapanku, kejahilanku, keterlaluanku dalam seluruh urusanku dan Engkau lebih mengetahuinya daripada aku. Ya Allah ampunilah aku, kesilapanku, niat tujuanku, kejahilanku, gurau sendaku dan segala yang seperti tiu pada diriku".
Juga hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud, daripada Ummu Salamah, bahawa Rasulullah SAW akan membaca setiap kali keluar dari rumahnya...
اللهم إني أعوذ بك أن أضل أو أضل أو أزل أو أزل أو أظلم أو أظلم أو أجهل أو يجهل علي
أخرجه أبو داود
" Ya Allah aku berlindung kepada-Mu dari menyesatkan atau disesatkan; dari menggelincirkan atau digelincirkan; dari menganiaya atau dianiaya; dari membodohi atau aku dibodohi (orang lain)."
Kejahilan adalah punca segala keburukan dan kerosakan. Kalau tidak kejahilan manusia tidak menyembah selain daripada Allah Azza wa Jalla. Bahkan segala kerosakan dan kesesatan yang herlaku dalam kehidupan manusia jika ditelti, maka semuanya berpunca daripada kejahilan.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiah rahimahullahu taala mengatakan: " Kejahilan dan kezaliman adalah punca segala kejahatan sebagaimana firman Allah taala :
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُوماً جَهُولاً﴾ الأحزاب: ٧٢
Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil. (72)
Al Ahzaab : 72
الجاهل يعرف بست خصال: الغضب من غير شيء، والكلام في غير نفع، والعطية في غير موضعها، وأن لا يعرف صديقه من عدوه، وإفشاء السر، والثقة بكل أحد.“
( علي ابن أبي طالب )
Orang jahil dikenali dengan enam perkara :
1. Marah tanpa sebab
2. Bercakap tanpa faedah
3. Memberi tidak pada tempatnya
4. Tidak kenal mana kawan mana musuh
5. Menyebarkan rahsia
6. Percaya pada semua orang
( Atsar Saidina Ali RA )
Alangkah lemahnya jiwa bila kejahilan dan kebodohan menguasai hati.
wallahul musta'an
ABi
No comments:
Post a Comment